Thursday, December 15, 2011

Kelantan Miliki Pemain Mantap Setiap Posisi


TIDAK wujud istilah kesebelasan pasukan pertama atau pasukan kedua sebaliknya semua pemain yang menyarung jersi skuad The Red Warriors mempunyai keupayaan yang hampir seimbang secara keseluruhannya.
Itulah gambaran awal Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang nyata cukup gembira dengan perkembangan pasukannya apabila berjaya membentuk satu kombinasi pemain yang mantap dan tidak menjejaskan prestasi pasukan meskipun terpaksa menggunakan pemain simpanan.
“Itu yang saya mahukan daripada pemain saya. Kita ada 30 pemain dalam skuad ini dan terbukti mereka mempunyai keupayaan yang cukup seimbang. Sesiapa sahaja pemain boleh bertukar ganti dan ini tidak menjejaskan prestasi pasukan.
“Jika ada pertukaran pemain ketika perlawanan, kita mahu pemain yang digantikan itu dapat mengekalkan rentak permainan malah mampu memberikan persembahan yang lebih baik tanpa menjejaskan mutu permainan.
“Bagi Kelantan, apabila berpeluang beraksi pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seumpama kita mewakili Negara. Jadi kita kena berusaha untuk memastikan Kelantan berada dalam kelas yang tersendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.
Mengulas mengenai persembahan pemain import iaitu Mohammed Ghaddar Mahmoud dan Denny Antwi yang digandingkan buat pertama kali dengan penyerang tempatan, Norshahrul Idlan Talaha, Annuar menjelaskan mereka masih memerlukan masa untuk membentuk satu rangkaian penyerang yang lebih berbisa pada saingan liga musim depan.
“Sebenarnya ini pertama kali mereka bertiga digandingkan. Saya lihat mereka ada persefahaman baik tetapi saya fikir masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Masing-masing mempunyai gaya permainan berbeza. Namun persamaannya mereka mempunyai penguasaan bola dan kemahiran individu menarik,” katanya.

Sunday, July 17, 2011

Malaysia vs Liverpool !!!!!!!!

KUALA LUMPUR, (D5) - Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi ketika bertemu Liverpool dalam aksi persahabatan Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil namun tetap gagal menghasilkan kejutan apabila tewas 6-3 kepada kelab EPL itu.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada anak buah Datuk K. Rajagobal yang turun dengan misi mengembalikan maruah yang tercalar setelah tewas kepada Arsenal 4-0 Rabu lepas. Barisan yang diketuai Safiq Rahim jelas tidak lagi gentar beradu tenaga dengan bintang-bintang Liverpool dan berani melakukan cabaran untuk merampas bola.

Permainan seperti yang dijangkakan dikuasai oleh Liverpool, dengan hantaran-hantaran pendek seringkali memgelirukan Malaysia dan memaksa mereka melakukan terjahan lewat untuk merampas bola.

Liverpool terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-25 menerusi penalti yang disempurnakan Charlie Adam setelah Carroll dijatuhkan oleh pertahanan Malaysia. Bintang baru Liverpool itu terpaksa mengambil semula penaltinya setelah jaringan pertama dibatalkan pengadil. Adam bagaimanapun tenang menewaskan Sharbinee buat kali kedua.

Malaysia bagaimanapun tidak langsung goyah apabila berani mengasak kubu Liverpool, yang kelihatan sedikit kepenatan dan hasil usaha keras barisan Malaysia membuahkan hasil apabila Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan percuma tiga minit sebelum babak pertama berakhir, melepasi penjaga gol, Brad Jones.

Di babak kedua, hampir keseluruhan kesebelasan utama Liverpool digantikan dengan pemain-pemain simpanan, di mana bintang-bintang seperti Dirk Kuyt, Maxi Rodriguez, Alberto Aquilani dan David Ngog diturunkan.

Pada minit ke 67, Liverpool kembali di hadapan apabila Ngog mempamerkan tindakan penyudah yang tajam menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang kelahirang Perancis itu tidak mengambil masa lama untuk menggandakan akaun golnya apabila dua minit kemudian, dia merembat kencang ke arah kiri pintu gol Malaysia menewaskan penjaga gol Kelantan itu.

Tersentak dengan kehilangan dua gol berturut-turut, Malaysia kemudian menurunkan penyerang sensasi negara Safee Sali untuk mempertajamkan barisan serangan. Bekas penyerang Selangor itu segera menguji penjaga gol Liverpool dengan rembatan leret pada minit ke-72.

Liverpool terus mengamuk apabila pada minit ke-74, Maxi Rodriguez menyudahkan hantaran silang daripada kiri pintu gol Malaysia untuk gol keempat mereka, membuatkan Khairul Fahmi mengeleng-gelengkan kepala dengan prestasi hambar barisan pertahanannya itu.

Safee Sali terus mempamerkan persembahan hebat apabila rembatan derasnya pada minit ke-77 terpaksa ditepis keluar oleh Martin Hansen, yang masuk menggantikan Brad Jones pada permulaan babak kedua.

Seminit kemudian usaha keras Safee Sali akhirnya membuahkan hasil apabila dia menolak masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas Hansen setelah Mohd Amirulhadi menghantar bola leret dari kiri pintu gol Liverpool.

Stadium Nasional sekali lagi bergegar apabila Safee Sali menewaskan perangkap ofsaid Liverpool dan melorongkan bola melepasi jangkauan Hansen sekali lagi pada minit ke-81 untuk gol ketiga Malaysia.

Pemain kelab Pelita Jaya itu terus menghuru-harakan barisan pertahanan Liverpool, yang jelas bergelut untuk menangani kelincahan pemain itu.

Namun Liverpool akhirnya lega apabila Maxi menanduk kemas hantaran Kuyt daripada arah kanan untuk gol kelima Liverpool ketika aksi sudah pun masuk ke masa tambahan.

Para penyokong yang membanjiri stadium terus dihiburkan dengan gol keenam Liverpool apabila Kuyt menyudahkan hantaran Aquilani untuk gol terakhir perlawanan.